Harm Awareness Association Malaysian Organisation of Vape Entity

LAIN BATUK, LAIN UBATNYA

‘Batuk’ merupakan antara penyakit paling ‘common’ dalam hidup kita, baik seawal usia bayi, kanak-kanak mahupun dewasa. Kerana itu jugalah ubat batuk merupakan antara ubatan yang paling mudah didapati – baik dari farmasi, klinik mahupun kedai runcit kecil sekalipun. Namun kerana itu jugalah, kita mudah bersikap sambil lewa dalam memilih ubat batuk yang sesuai.

batuk

Bukan semua ubat batuk sesuai untuk semua jenis batuk. Jika kita membelinya daripada ahli farmasi atau dipreksripsi oleh doktor, mungkin kita akan dapat nasihat tentang jenis dan cara penggunaan yang betul. Malangnya, kita semua lebih kerap membeli sendiri di kedai-kedai, berdasarkan pengalaman lalu atau juga nasihat ‘doktor bidan terjun’ di sekeliling kita. Akibatnya, ‘batuk yang biasa’ itu tadi akan ‘beranak’ pula menjadi rasa mengantuk luar biasa, mual, loya, cirit birit atau lebih teruk lagi ketagihan sehingga membawa kepada kerosakan organ-organ dalaman yang boleh membawa maut.

 

Sebenarnya terdapat dua jenis batuk, iaitu batuk jenis kering (tak berkahak) dan batuk jenis basah (berkahak). Di sini kita akan lihat beberapa jenis ubat batuk (bukan jenama), kondisi batuk apa yang sesuai dengannya, serta bagaimana ia berfungsi.

 

• Expectorant – untuk batuk berkahak; mencairkan mukus nipis di kawasan salur pernafasan supaya kahak lebih mudah keluar ketika batuk (untuk diludahkan ya, bukan untuk ditelan semula!)

• Antitussive – untuk batuk kering yang tidak berkahak; mengurangkan batuk dengan cara menghalang refleks batuk, sekaligus mengurangkan rangsangan untuk batuk

• Mucolytic – untuk batuk berkahak tebal yang bermula dari dalam paru-paru; memutuskan jaringan mukus supaya salur pernafasan jadi lebih longgar dan kahak lebih mudah keluar

• Anti Histamine – mengurangkan penghasilan hingus dan batuk tak berkahak, dengan merencat penghasilan histamin yang membuat salur darah jadi kembang, sekaligus menghasilkan banyak hingus. Jenis ini mampu menembusi penghalang otak untuk merencatkan pusat batuk.

 

Selain ubatan di atas, terdapat juga ubat-ubat lain yang sering disarankan apabila batuk, tetapi bukan spesifik untuk batuk, seperti yang berasaskan herba, ubat anti lelah, ubat selesema, atau yang menggabungkan dua jenis ubat batuk atau lebih. 

ubat batuk

Walau bagaimanapun, jalan terbaik adalah dengan bertanya kepada doktor atau ahli farmasi untuk mengenal pasti ubat batuk yang paling sesuai dan terbaik untuk kita. Ketahui sama ada ubat itu jenis mengantuk ataupun tidak, untuk mengelak risiko yang lebih besar. Ambil mengikut dos dan selang masa yang ditetapkan; jangan ambil sesuka hati walaupun batuk belum berkurangan. Jangan sesekali campurkan sendiri, walau sekukuh mana pun ‘testimoni’ yang anda dengari daripada orang lain. Sekiranya anda menghidap penyakit kritikal terutama diabetes, elakkan membeli tanpa khidmat nasihat, kerana kebanyakan ubat batuk tinggi kandungan gulanya. Ingat, walaupun batuk itu ‘common’, namun kita tetap harus merawatnya sebagaimana penyakit-penyakit yang lain. 

 

 

RUJUKAN

https://siraplimau.com/7-jenis-ubat-batuk-boleh-beli-di-farmasi-tanpa-preskripsi-doktor-elak-batuk-anak-lebih-teruk/ 

https://semuanyajdt.com/tips-pilih-ubat-batuk-yang-sesuai/ 

https://halaloemmanufacturer.com/cara-menghilangkan-batuk-jenis-ubat-batuk-di-farmasi/ 

http://www.myhealth.gov.my/cara-pengambilan-ubat-ubatan-yang-betul/ 

https://www.vanillakismis.my/kenal-pasti-jenis-batuk-yang-biasa-kita-alami-ubat-yang-sesuai-untuk-diambil1/ 

https://www.maskulin.com.my/4-jenis-ubat-batuk-paling-berkesan/ 

http://www.myhealth.gov.my/ketagihan-ubat-batuk-2/

http://www.myhealth.gov.my/en/cough-medicine-addiction/ 

Maklumat   terkini melalui email