Harm Awareness Association Malaysian Organisation of Vape Entity

COVID-19 : KETATKAN SOP UNTUK MENANG!

Saban hari, Coronavirus menunjukkan kadar jangkitan dan jumlah kematian harian yang semakin tinggi. Tak cukup dengan itu, muncul pula varian-varian baru dari luar negara yang menyebabkan jangkitan lebih pantas berlaku tanpa sebarang simptom jelas. Ada mangsa yang terus dimasukkan ke ICU hanya selepas beberapa jam disahkan sebagai penghidap. Ada pula yang ketika dibawa ke hospital, sudah pun menjadi mayat. ‘Kemampuan’ Covid-19 mengakibatkan maut semakin jelas di mata kita semua.

Salah satu cara paling berkesan untuk mengurangkan bahaya jangkitan Covid-19 adalah melalui suntikan vaksin. Malangnya, ramai rakyat Malaysia lebih percayakan mesej-mesej tular daripada Mak Teh dan rakan-rakan yang langsung tidak kita kenali, berbanding pesanan daripada Ketua Pengarah Kesihatan kita yang diiktiraf antara terbaik di dunia.

Doktor vaksin

Terlebih dahulu, kita perlu tahu bahawa program vaksinasi ini perlu untuk menghasilkan imuniti berkelompok. Semakin ramai yang divaksin, jangkitan akan lebih sukar dan lebih lambat untuk merebak. Benar, vaksin tidak menjamin kita untuk langsung takkan dijangkiti lagi, tetapi KESAN DAN SIMPTOM yang ditanggung oleh seseorang pesakit dijangka semakin kurang teruk. Jika kebelakangan ini semakin ramai yang terus ke ICU, mungkin selepas vaksinasi, cukup cuma kuarantin di rumah sehingga sembuh. Kita perlu sentiasa ingat, ruang dan tenaga kerja di hospital sudah semakin terhad.

Sambil itu, pihak kerajaan juga menyeru untuk memperketatkan SOP. Selain mematuhi SOP yang disenaraikan oleh pihak berwajib, kita juga perlu memperketatkan lagi pemantauan kendiri di rumah. Mulalah biasakan memakai pelitup muka berganda ketika berada di tempat awam, sepertimana yang disarankan oleh pihak KKM dan digariskan oleh Pusat Kawalan Penyakit Berjangkit (CDC) di Amerika Syarikat. Perkemaskan pemakaian pelitup muka dengan memastikan tiada ruang antara muka dengan pelitup. Gabungkan pelitup muka medikal tiga lapis (3-ply) dengan pelitup muka fabrik bagi mencapai tahap perlindungan sehingga 85%. Mulakanlah sendiri, tanpa perlu menunggu ia diwajibkan.

Pelitup Muka

Dan ingat, pastikan anda menggunakan pelitup muka fabrik yang diluluskan, bukan sekadar menutup muka anda dengan lapisan fabrik baju atau purdah, walau berapa lapis sekalipun, sebagai mematuhi SOP dan juga demi keselamatan diri anda sendiri serta insan tersayang.

 

Rujukan:

https://www.cdc.gov/coronavirus/2019-ncov/your-health/effective-masks.html

https://kpkesihatan.com/2021/05/23/panduan-ringkas-pemakaian-pelitup-muka-berganda-double-face-mask-oleh-centers-for-disease-control-and-prevention-cdc-amerika-syarikat/

https://www.astroawani.com/berita-malaysia/pakai-dua-helai-pelitup-muka-299166 

Maklumat   terkini melalui email