Harm Awareness Association Malaysian Organisation of Vape Entity

GULA : MUSUH DALAM SELIMUT

Rakyat Malaysia tidak dapat dipisahkan dengan gula, baik dalam apa jua hidangan dari sarapan hinggalah makan lewat malam. Ironinya, rata-rata rakyat Malaysia sedar dan faham akan bahaya gula, terutamanya tentang bahaya penyakit kencing manis atau diabetes. Menjelang 2025, dijangka seorang daripada 5 orang dewasa di Malaysia akan menghidap penyakit kronik ini.

 Diabetes

 

Salah satu cara paling berkesan untuk mengelak daripada bahaya diabetes adalah dengan mengurangkan gula. Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), pengambilan gula tambahan (yang bukan dari sumber semulajadi) perlu dihadkan kepada 5 sudu teh atau 25g sahaja dalam sehari. Malangnya, pengambilan gula dalam kalangan rakyat Malaysia kini mencecah lebih 50g per kapita – antara yang tertinggi di dunia!

 

Sebenarnya, terdapat pelbagai cara untuk mengurangkan gula tambahan, tanpa terus mengenepikan nikmat makan. Tukarkan pencuci mulut dan manisan anda kepada alternatif yang lebih sihat, contohnya daripada ais krim biasa kepada serbat atau yogurt sejuk beku. Atau sediakan snek sendiri di rumah, dengan hanya bahan semulajadi seperti buah-buahan dan kekacang, tanpa gula tambahan. 

 

Yogurt

 

Kurangkan penambahan gula ke dalam minuman anda kepada separuh selama seminggu. Kemudian, terus kurangkan separuh lagi pada minggu berikutnya, sehingga anda terbiasa dengan kandungan gula yang minima bagi setiap cawan. Rajinkan juga diri untuk melihat label nutrisi ketika memilik produk makanan. Sebaiknya, pilih produk yang kurang gula, sekitar 5g atau kurang bagi setiap hidangan bersaiz 100g.

 

Ada yang terus mengambil pendekatan lebih drastik hari ini dengan mengamalkan ‘diet potong gula’. Ramai yang bukan saja berjaya mengelak diabetes, malah berjaya menurunkan berat badan secara mendadak dengan mengamalkan diet ini. Tetapi ingat, pastikan anda mempunyai informasi yang cukup dan jangan terlalu mendadak. Bimbang nanti anda akan cepat berputus asa, dan berpatah balik kepada tabiat mengambil makanan bergula yang lama!

 

Gula memang manis, namun jika diambil berlebihan, akibat yang menanti adalah terlalu pahit. Jadi jom, kita kurangkan gula dalam makanan, supaya kita dapat lebihkan gula dalam senyuman!

Maklumat   terkini melalui email