Harm Awareness Association Malaysian Organisation of Vape Entity

DURIAN DAN MITOSNYA

Terdapat pelbagai pendapat tentang durian. Ada sebilangannya langsung tidak masuk akal. Ada yang mengatakan jika durian dimakan dengan makanan tertentu seperti ubat atau kopi, boleh mengundang maut. Jika dimakan dengan susu, bahaya untuk perut. Ada pula yang kata durian itu ‘buah panas’, jadi hendaklah digandingkan dengan ‘buah sejuk’ seperti manggis. 

Sebenarnya tidak ada istilah buah panas dan buah sejuk di dalam bidang perubatan moden, dan belum ada kajian saintifik yang menyokong mitos tersebut. Mungkin kerana kebetulan durian dan manggis berbuah pada satu musim yang sama, jadi kepercayaan ini diterap untuk elak daripada membazir!

Durian juga mempunyai serat yang tinggi. Jika dimakan terlalu banyak, boleh buat perut anda jadi kembung dan tidak selesa. Jika makan durian saja pun boleh buat sakit perut, apatah lagi jika dimakan pula dengan susu yang juga berserat tinggi! Jadi mungkin jangan ambil risiko, dan makan salah satu sahaja pada satu-satu masa.

durian

‘Teori’ paling popular sejak kebelakangan ini pula mengatakan sebelum dan selepas makan durian, jangan ambil sebarang ubat, termasuklah vaksin. Sebenarnya, tidak ada sebarang kajian saintifik yang menunjukkan perkaitan antara kedua-duanya. Cuma individu dengan kondisi kesihatan tidak digalakkan makan durian dengan kuantiti yang banyak. Kenapa?

Sepertimana buahan lain, durian mengandungi pelbagai jenis vitamin dan mineral seperti kalsium, magnesium, kalium dan zat besi. Ia boleh membantu proses penghadaman, menggalakkan penghasilan sel darah merah, meningkatkan imuniti tubuh serta menghasilkan hormon seperti serotonin dan melotonin yang berguna dalam mengawal emosi, mengurangkan stres dan meningkatkan kualiti tidur. 

Namun, makanan apapun, tak kiralah setinggi manapun khasiatnya, risikonya tetap ada jika dimakan dalam kuantiti yang banyak (sebagaimana ramai antara kita hari ini). Durian juga mengandungi gula dan potassium yang tinggi jika dimakan berlebihan. Ini pastinya tidak elok untuk penghidap kencing manis, darah tinggi, buah pinggang malah juga ibu mengandung. Paras gula yang naik mendadak akibat makan durian secara berlebihan inilah yang berpotensi mencetuskan ‘fenomena-fenomena’ biasa selepas makan durian, seperti panas, pening dan sebagainya. Namun jika dimakan dalam kuantiti yang kecil, tiada masalah.

Kuncinya di sini adalah bersederhana. Jangan makan durian secara berlebihan, walau seteruk mana pun anda ‘mengidam’. Makan sekadar untuk memenuhi rasa teringin pun sudah memadai. Banyakkan juga minum air kosong ketika makan durian bagi mengimbangi semula gula dalam sistem badan. Elakkan makan durian dengan apa jua bahan atau ubatan, memandangkan belum ada kajian tepat tentang kesan sampingannya. Jika masih ragu-ragu, dapatkan khidmat nasihat doktor dan pakar perubatan. 

Pesanan ini bukan hanya untuk peminat durian, malah untuk apa jua buahan dan makanan sekalipun. Sama seperti pesanan pengarah ikonik Francis Ford Coppola, “Terlalu banyak benda baik, bukanlah satu perkara yang baik”. Mungkin sebab itu beliau bukan penggemar durian!

diet seimbang

 

Rujukan:

 

https://hellodoktor.com/pemakanan/fakta-nutrisi/manfaat-makan-durian-mitos/

https://www.sinarharian.com.my/article/47384/LIFESTYLE/Sinar-Aktif/Lazatnya-durian-tetapi

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/06/721354/lelaki-maut-akibat-serangan-jantung-bukan-kerana-durian-vaksin

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/06/832047/tiada-kesan-sampingan-makan-durian-sebelum-atau-selepas-suntik-vaksin

https://www.hmetro.com.my/hati/2018/08/364213/makan-durian-biar-berpada

 

 

 

 

Maklumat   terkini melalui email