Harm Awareness Association Malaysian Organisation of Vape Entity

DIET TELUR : KURANG BERAT CARA EKSPRES

Telur merupakan salah satu bahan makanan yang diklasifikasikan sebagai ‘superfood’. Ia boleh dimasak dalam apa jua menu, dan bersifat universal; sesuai untuk apa jua budaya dan gaya hidup. Mengikut kajian Rochester Center for Obesity Research di Michigan, USA, pengambilan telur rebus ketika sarapan mampu mengawal pengambilan kalori harian seseorang individu. 

telur

Dewasa sini, antara trend popular dalam diet adalah ‘diet telur rebus’, yang dikatakan sangat berkesan untuk menurunkan berat badan dalam jangka masa yang singkat. Terdapat beberapa jenis ‘diet telur rebus’ yang boleh dijumpai, namun antara yang paling kerap diamalkan adalah ‘Diet 14 Hari’ dan ‘Diet Mono’. 

diet telur rebus

Pengamal ‘Diet 14 hari’ hanya makan telur rebus dalam menu hariannya, sebanyak 3 kali sehari iaitu setiap waktu makan. Rejim ini diamalkan selama dua minggu, tanpa mengambil sebarang makanan ringan atau minuman berkalori. Namun rejim ini membenarkan bahan-bahan makanan sampingan lain seperti sayur rendah karbohidrat atau ayam dan ikan disertakan dalam hidangan untuk menambah protein.

 

Pengamal ‘Diet Mono’ pula hanya makan telur rebus dan air dalam setiap menu hariannya selama 2 minggu. Ya, HANYA TELUR REBUS. Ramai yang lebih gemar memilih rejim ini untuk mencapai berat badan ideal dalam jangka masa yang singkat. Benar, mengikut logik akal, mengambil hanya sejenis ‘superfood’ selama dua minggu pastinya menjanjikan kesan yang amat mengagumkan. Walau bagaimanapun, sains dan kesihatan bukanlah sesuatu yang boleh diukur hanya dengan logik akal dan perasaan. 

 

‘Diet Mono’ ini sebenarnya bukan sahaja tidak baik untuk kesihatan tubuh badan, malah juga mampu mengundang bahaya disebabkan:

• Malnutrisi. Badan tidak cukup nutrisi seimbang untuk menghasilkan tenaga bagi melakukan pelbagai kerja harian yang lain.

• Kesan YoYo. Berat badan yang turun mendadak juga mampu naik semula dengan mendadak.

• Peningkatan Kolesterol. Jumlah kolesterol dalam telur ayam tidaklah setinggi bahan makanan lain. NAMUN, jika diambil secara melulu dalam jumlah yang banyak tanpa dibantu oleh bahan makanan seimbang lain, risiko untuk kolesterol naik mendadak adalah semakin tinggi.

• Kesan Alergi. Ketidak seimbangan nutrisi membuatkan badan kurang mampu untuk melawan reaksi alergi seperti ruam, mual, gatal dan masalah pencernaan.

• Psikologi. Otak kita bagaikan CPU. Jika sistem pemprosesannya terganggu (ya, termasuk proses makan), seluruh tubuh badan berdepan risiko untuk ‘hang’.

 

Jika masih berminat untuk amalkan ‘diet telur rebus’ ini, janganlah makan telur sahaja; sertakan juga makanan lain untuk elak malnutrisi. Banyakkan minum air kosong untuk ganti kehilangan air akibat kekurangan bahan makanan lain tadi. Sertakan juga senaman ringan selama sekurang-kurangnya setengah jam setiap pagi, bukan hanya bergantung kepada diet semata-mata. Selain itu, kurangkan atau hentikan terus makanan segera, serta sentiasa perhatikan tahap pengambilan garam dan gula. 

 

Cara terbaik untuk mengetahui rejim diet apa yang paling sesuai dan terbaik untuk kita adalah melalui nasihat doktor. Jangan hanya kerana beberapa testimoni daripada ‘kawan kepada kawan’ entah sesiapa, kita terus ceduk informasi dari internet dan amalkan. Jika ada apa-apa gangguan terhadap sistem badan, tiada seorang kawan pun akan dapat membantu anda – melainkan kawannya itu seorang doktor pakar nutrisi!

 

 

RUJUKAN

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/high-blood-cholesterol/expert-answers/cholesterol/faq-20058468 

https://www.mstar.com.my/xpose/mode/2022/02/13/biar-betul-diet-telur-rebus-boleh-turunkan-berat-badan-dalam-3-hari-fahami-faktanya 

https://hellodoktor.com/pemakanan/diet-sihat/diet-telur-adakah-ia-langkah-efektif/ 

https://www.vitdaily.com/cara-betul-diet-telur-rebus-turun-10-kg-dalam-2-minggu/ 

https://www.getaran.my/artikel/selera/14006/diet-telur-rebus-untuk-kurus 

https://www.karteldakwah.com/tips-nak-diet-pakai-telur-rebus-2-minggu-berat-anda-hilang-10-kg-jika-ikut-rutin-ini/ 

https://ms.julinse.com/adakah-diet-telur-sihat/ 

https://www.cnnindonesia.com/gaya-hidup/20210908164841-260-691569/mengenal-bahaya-diet-telur-rebus

 

Maklumat   terkini melalui email