Harm Awareness Association Malaysian Organisation of Vape Entity

MEROKOK: BAHAYA MENANTI ORANG DI SEKELILING

Secara umumnya, semua orang tahu merokok itu berbahaya, tetapi tak ramai yang benar-benar tahu dan faham kenapa. Bahayanya bukan terletak pada rasa tembakau yang mengasyikkan, tetapi pada proses pembakaran yang berlaku. Apabila tembakau dibakar, ia juga turut menghasilkan lebih 6,000 bahan kimia, kebanyakannya telah disahkan sebagai penyebab penyakit-penyakit kronik berkaitan rokok, seperti kanser paru-paru, penyakit kardiovaskular dan sebagainya, yang boleh membawa maut.

Merokok itu berbahaya

Menegur perokok untuk mengubah tabiat mereka itu bukanlah mudah. Seringkali kita disuruh menjaga tepi kain sendiri, dengan alasan bahawa tabiat mereka itu hanya memudaratkan diri sendiri. Malangnya, ia bukan hanya boleh menjejaskan kesihatan si perokok, malah juga orang-orang di sekeliling yang menghidu asap daripada rokok tersebut. 

Mereka inilah yang digelar perokok pasif. Risiko untuk mereka dihinggapi penyakit-penyakit kronik akibat rokok tadi adalah sama saja dengan seorang perokok. Lebih malang lagi, golongan paling berisiko adalah mereka yang berkongsi kediaman dengan si perokok. 

Lebih 3,000 kes kematian akibat kanser paru-paru di Amerika Syarikat setiap tahun merupakan perokok pasif. Kanak-kanak yang terdedah kepada asap rokok mempunyai risiko untuk mendapat penyakit asma, jangkitan kuman di telinga dan masalah pembelajaran serta kelewatan tumbesaran. Jika asap rokok terdedah kepada bayi, risiko Sindrom Kematian Bayi Mengejut (SIDS) pula menanti. Semua ini kerana paru-paru bayi dan kanak-kanak belum lagi berfungsi sepenuhnya, sekuat orang dewasa. 

Sindrom Kematian Bayi Mengejut (SIDS)

Satu lagi istilah baharu berkaitan perokok pasif adalah perokok tangan ketiga, iaitu golongan yang menghidu atau menyentuh sisa asap rokok yang melekat pada baju, katil, perabot mahupun kulit manusia, di mana partikel bahan kimia beracun tadi masih wujud. Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, sisa yang dipanggil sisa asap basi ini boleh melekat sehingga dua tahun lamanya, dengan risiko yang sama sahaja seperti dihadapi oleh seorang perokok pasif. Kajian oleh Universiti Sains Malaysia menunjukkan lebih 600,000 kematian dicatat setiap tahun pendedahan kepada asap rokok basi!

Satu-satunya cara untuk menghilangkan sisa asap basi ini adalah dengan mencuci dan membersihkan permukaan yang terdedah kepada asap rokok dengan sekerap mungkin. Manakala untuk mengelak orang sekeliling anda menjadi perokok pasif pula adalah dengan menghisap rokok sejauh mungkin daripada mereka. Tetapi ingat, sisa asap basi masih mampu melekat pada pakaian anda, untuk anda bawa pulang pula kepada orang-orang tersayang di rumah. Jadi mungkin lebih baik untuk beralih kepada alternatif yang tidak melibatkan proses pembakaran seperti rokok elektronik atau ‘heated tobacco’. Memandangkan alternatif-alternatif ini tidak membakar, jadi hanya wap atau ‘vapor’ yang dihasilkan, bukannya asap yang berbahaya. 

Namun jika anda benar-benar sayangi mereka, mungkin sudah sampai masanya untuk anda benar-benar berhenti daripada merokok. Tak adil jika yang sedapnya anda seorang, tetapi yang sakitnya orang-orang di sekeliling. Bayangkan wajah anak isteri serta ahli keluarga tercinta, terbaring kaku di katil hospital, akibat nikmat kosong yang anda buru. Jangan dah terhantuk baru nak terngadah!

 

 

Rujukan:

 

https://www.cdc.gov/tobacco/data_statistics/fact_sheets/health_effects/effects_cig_smoking/index.htm

https://www.klikdokter.com/info-sehat/read/2667903/apa-itu-perokok-tangan-ketiga

https://www.cdc.gov/tobacco/data_statistics/fact_sheets/secondhand_smoke/health_effects/index.htm

https://www.majalahpama.my/kesan-bahaya-thirdhand-smoke-atau-asap-rokok-yang-melekat-di-persekitaran-dalam-rumah-pada-si-kecil-1/ 

https://www.doctoroncall.com.my/health-centre/berhenti-merokok/perokok-pasif

https://www.nhsinform.scot/healthy-living/stopping-smoking/reasons-to-stop/tobacco

https://www.fda.gov/tobacco-products/products-ingredients-components/chemicals-every-puff-cigarette-smoke

http://myquit.usm.my/index.php/ms/ketahui-fakta/ketahui-bahaya-asap-rokok-basi

https://m.facebook.com/kementeriankesihatanmalaysia/photos/a.390879946236/10156352504181237/?type=3&source=48

 


ROKOK ELEKTRIK : APA BEZANYA DENGAN ROKOK BIASA?

Merokok berbahaya kepada kesihatan. Pembakaran ke atas tembakau yang menjadi bahan utama dalam sebatang rokok mampu menghasilkan beribu bahan kimia; setiap satunya boleh mendatangkan risiko penyakit kronik ke atas si penghisap, seperti kanser dan sebagainya.

 

 Akibat Merokok

 

Bagi yang berjaya berhenti serta merta daripada merokok, syabas diucapkan. Namun tidak semua mampu berbuat demikian, setelah bertahun-tahun mengamalkannya. Justeru, majoriti perokok beralih kepada alternatif yang lebih rendah risikonya, iaitu rokok elektrik. Rokok elektrik menggantikan tembakau dengan cecair berperisa, dan cuma menghasilkan wap air berbanding asap  yang mengandungi partikel karbon akibat pembakaran.

 

 Rokok VS Vape

 

Jadi kenapa masih ramai yang seakan-akan ‘anti’ rokok elektrik?

Alasan paling popular – kandungan nikotin. Walaupun masih berisiko, tetapi sebenarnya nikotin bukanlah punca penyakit kronik akibat merokok.  Bahan makanan harian kita seperti tomato dan ubi juga mengandungi nikotin. Proses rawatan untuk berhenti merokok juga menggunakan pelekat nikotin. Malah, kandungan nikotin dalam rokok elektrik, jika ada sekalipun, tidaklah sampai menjejaskan kesihatan. Tetapi sekiranya masih ragu-ragu, seorang perokok elektrik boleh saja memilih perisa yang tidak mengandungi nikotin. Untuk lebih selamat lagi, pilihlah jenama perisa yang sah lagi dipercayai, bagi memastikan kandungannya benar-benar dijamin. Elakkanlah perisa-perisa keluaran persendirian.

Satu lagi alasan yang diberi adalah keselamatan alat atau ‘pod’ itu sendiri. Terdapat laporan di mana pod rokok elektrik meletup ketika dicas atau secara ‘tiba-tiba’. Jika dilihat, sama seperti sebuah telefon bimbit, sesebuah rokok elektrik mempunyai ruang untuk mengecas dan menyimpan bateri. Jadi, cara penjagaan dan penggunaannya juga lebih kurang sama. Jangan terlebih cas, dan jangan simpan di ruang yang terlalu panas. Dan sekali lagi, belilah pod daripada premis yang sah dan berdaftar. Elakkan sama sekali membeli pod yang telah diubahsuai, sarat dengan komponen elektronik yang bukan sahaja tidak berguna malah berisiko.

Memilih alternatif kepada rokok tembakau adalah satu langkah yang baik dalam mengurangkan bahaya akibat tabiat merokok. Tetapi pada masa yang sama, amalkan juga sikap berhati-hati, supaya tidak tersilap memilih bahaya yang lebih besar. Sambil itu, teruskan mencuba untuk berhenti, kerana itulah cara yang terbaik.

Maklumat   terkini melalui email