Harm Awareness Association Malaysian Organisation of Vape Entity

TIDUR MIKRO MEMBUNUH DALAM SESAAT

Pernah dengar istilah tidur mikro atau ‘micro sleep’? Secara asasnya, tidur mikro adalah satu situasi di mana otak dipaksa untuk tidur kerana terlalu letih dan mengantuk, manakala anggota badan lain masih berfungsi. Bunyinya seperti tidak berbahaya, tetapi bagaimana jika ia berlaku ketika sedang memandu? 

Pakar Perunding Psikiatri Hospital Canselor Tuanku Mukriz, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Azlin Baharudin berkata, gejala itu biasanya berlaku antara sesaat hingga dua minit, tetapi pada kebiasaannya berlaku dalam tempoh 10 saat. Bayangkan sebuah kenderaan dibiar meluncur laju tanpa kawalan selama 10 saat? Lebih daripada cukup untuk mengundang kecelakaan. Itulah sebabnya, 8 peratus daripada jumlah kemalangan maut di Malaysia berpunca daripada tidur mikro!

8 peratus daripada jumlah kemalangan maut di Malaysia berpunca daripada tidur mikro

Tidur mikro ini biasanya disebabkan oleh aktiviti yang panjang dan membosankan, contohnya semasa memandu ke satu destinasi yang jauh untuk tempoh masa yang lama. Orang yang bekerja syif atau dalam sistem kerja yang tidak teratur juga lebih berisiko menghadapi situasi ini. Lebih membahayakan, tidur mikro boleh berlaku dengan mata yang terbuka. Jadi, orang sekeliling sukar untuk sedar bahawa si pemandu sedang tidur, sehinggalah semuanya sudah terlambat.

Pakar Perunding Perubatan dan Nefrologi Hospital Pakar Putra Melaka Datuk Dr S Ravih pula berkata, waktu puncak untuk mengantuk adalah antara 3 hingga 5 pagi, dan antara 2 hingga 4 petang. Menurut beliau lagi, antara simptom tidur mikro akan berlaku adalah tindak balas menjadi lambat, pandangan kosong, mata berkelip lebih kerap, menguap berlebihan dan tersentak tiba-tiba. 

Pengarah Pusat Penyelidikan Tidur Universiti Loughborough United Kingdom (UK), Prof Jim Horne pula menyarankan, sebaik sahaja sedar bahawa anda sedang mengantuk, segeralah berhenti di tempat selamat dan ambil minuman yang mengandungi kira-kira 150 miligram kafein. Selepas itu, tidurlah sekurang-kurangnya selama 15 minit, dan segarkan badan selama 5 minit sebelum menyambung perjalanan.

berhenti di tempat selamat dan tidurlah sekurang-kurangnya selama 15 minit

Untuk jangka masa panjang, ubahlah gaya hidup anda untuk mencapai tidur yang berkualiti, iaitu selama 7 hingga 9 jam. Padamkan perkakasan elekritik seperti lampu, televisyen dan radio ketika tidur, serta kekalkan suhu bilik pada tahap yang selesa. Jika terlalu mengantuk pada waktu siang, lakukan ‘power nap’ (tidur singkat) selama 20 minit. Dan sekiranya anda mengalami penyakit gangguan tidur seperti insomnia, ‘sleep apnea’ dan sebagainya, dapatkan khidmat nasihat pakar ENT atau psikologi segera. 

 

Rujukan:

 

https://www.bharian.com.my/wanita/sihat/2019/06/570327/micro-sleep-membunuh-terlelap-seketika-ketika-memandu

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/06/436371/rehat-dan-tidur-elak-mikrotidur

https://caring2u.com/health_info/bahaya-microsleep/

https://www.hmetro.com.my/utama/2019/05/460082/bahaya-microsleep

https://www.astroawani.com/gaya-hidup/tidak-cukup-tidur-tidur-tidak-berkualiti-jadi-punca-microsleep-249291

 

Maklumat   terkini melalui email