Harm Awareness Association Malaysian Organisation of Vape Entity

RELEVANKAH TEMPAT DUDUK BAYI?

Statistik Kementerian Pengangkutan mencatatkan seramai hampir 80 orang kanak-kanak berusia 6 hingga 10 tahun meninggal akibat kemalangan jalan raya setiap tahun. Kebanyakan kes kemalangan maut melibatkan kanak-kanak adalah disebabkan mangsa tercampak dari tempat duduk penumpang, sama ada ke cermin hadapan atau keluar terus dari kenderaan.

 

Kemalangan Jalan Raya

 

Sebagai langkah mengurangkan bahaya akibat kemalangan ke atas kanak-kanak, kerajaan pernah bercadang untuk mewajibkan pemasangan kerusi keselamatan kanak-kanak di dalam kenderaan.  Malangnya, kempen tersebut menemui jalan buntu setelah hanya 25 peratus ibubapa mematuhinya.  Faktor kewangan sering dijadikan alasan utama, padahal kerusi ini boleh didapati di pasaran dengan harga serendah RM200, lebih mahal sedikit daripada pakej hiburan yang dilanggani setiap bulan!

 Kerusi Keselamatan Kanak-kanak

 

Sebenarnya, kekangan terbesar adalah kekurangan maklumat akan kepentingan kerusi keselamatan kanak-kanak, serta cara untuk memilih model yang betul. Ibubapa yang mampu sekalipun, cenderung untuk membeli yang selesa, canggih dan mesra kanak-kanak, sedangkan ciri yang paling penting adalah keselamatan.

 

Pastikan tempat duduk ini boleh dipasang dengan kemas di dalam kereta, mendapat pengesahan SIRIM dan menepati piawaian antarabangsa untuk pemasangan tempat duduk kanak-kanak dalam kenderaan atau ISOFIX. Untuk bayi, pilihlah model yang menghadap ke belakang. Pastikan si comel anda diletak di tempat duduk belakang, BUKANNYA di sebelah pemandu, kerana beg udara mampu mengancam nyawa bayi. Nak jimat lagi, pilihlah model yang boleh dipusingan ke hadapan dan ke belakang, supaya anda tak perlu lagi membeli model baru apabila anak anda membesar nanti.

 

Cabaran kedua terbesar adalah anak-anak suka menangis dan mengamuk bila diletak di dalam kerusi keselamatan. Jadi adalah penting untuk latih anak anda sedari awal. Jangan angkat walau seteruk manapun dia menangis dan mengamuk. Lebih baik dia yang menangis hari ini, daripada anda menangis sepanjang hidup, kan? Sebagai tip – pastikan dia kenyang dahulu sebelum mulakan perjalanan supaya dia kurang meragam. Bakal ibubapa juga sudah boleh mula berlatih cara-cara memasang dan mengemaskan tempat duduk bayi mulai sekarang, tanpa perlu menunggu sehingga bayi anda lahir.

 

Berkorbanlah sedikit demi nyawa anak-anak kita. Mulakan langkah anda hari ini, kerana kita tidak tahu apa yang akan berlaku hari esok atau nanti.

Maklumat   terkini melalui email