Harm Awareness Association Malaysian Organisation of Vape Entity

‘MENCELIKKAN’ TITIK BUTA

Titik buta atau ‘blind spot’ adalah satu situasi di mana seorang pemandu tidak dapat melihat semua objek di sekeliling kenderaan yang sedang dipandu. Situasi ini sering dipandang ringan, walaupun mampu mengakibatkan kematian dalam sekelip mata. NHTSA melaporkan sebanyak 840,000 kemalangan akibat titik buta di Amerika Syarikat setiap tahun, dengan 300 daripadanya adalah kemalangan maut. 

titik buta

Risiko kemalangan akibat titik buta ini bukan hanya tertumpu di kawasan perumahan atau kawasan dengan banyak objek-objek statik seperti bangunan atau pokok yang boleh melindung pandangan pemandu, malah risikonya jauh lebih tinggi di lebuhraya yang luas terbuka. Lebih banyak objek yang bergerak di sekeliling kita, lebih tinggi kebarangkalian untuk berlakunya kecelakaan.

 

Setiap kenderaan pasti mempunyai titik buta. Lebih besar saiz atau dimensi sesebuah kenderaan itu, titik butanya lebih besar, dengan risiko yang lebih tinggi. Walau bagaimanapun, sepertimana unsur-unsur pencetus kemalangan yang lain, titik buta ini juga boleh dielakkan. Antara langkah yang boleh diambil untuk mengurangkan risiko kemalangan akibat titik buta adalah:

• Periksa cermin pandang belakang dan cermin sisi sebelum bergerak 

• Kenalpasti pergerakan kenderaan dan orang di tempat kenderaan kita diletakkan SEBELUM mula bergerak; kira berapa orang kanak-kanak ada situ, dan pastikan jumlahnya kekal sama ketika kita mula bergerak

• Tambah cermin cembung pada cermin sisi untuk pandangan yang lebih luas, bagi membolehkan kita melihat lebih banyak objek 

• Elakkan tersepit di celah kenderaan lain; pastikan kenderaan kita sentiasa berada di lorong atau kawasan terbuka supaya kita dapat lihat semua benda, sekaligus bersedia untuk apa jua kemungkinan

• Jika trafik padat, jangan pandu laju, supaya sempat bergerak balas; dan jangan sesekali memotong dari sebelah kiri

 

Penggunaan alat bantuan teknologi seperti gajet pengesan pergerakan kenderaan dan manusia di sekeliling kenderaan kita juga semakin popular hari ini, kerana kita kini boleh melihat sudut-sudut yang tidak mampu dipaparkan oleh cermin sisi dan pandang belakang. Walau bagaimanapun, kita tidak boleh bergantung pada alat dan teknologi semata-mata. Sesetengah situasi menuntut kita untuk membuat pergerakan secara manual, bagi memperoleh sudut pandang yang lebih besar. Contohnya, condongkan badan ke kiri apabila belok ke kanan (dan sebaliknya), atau tolehkan kepala ke sisi dan ke belakang secara manual untuk mengatasi titik buta tadi. Tetapi harus diingat, langkah-langkah manual ini hanya boleh dilakukan jika keadaan selamat untuk berbuat demikian, dan semestinya bukan ketika kenderaan kita sedang bergerak laju kerana mata kita lebih penting untuk memandang ke depan.

gajet pengesan pergerakan kenderaan dan manusia

Kesimpulannya, kita harus sentiasa semat di minda kita bahawa proses pemanduan itu bukanlah hanya bermula ketika kenderaan mula bergerak, malah sebelum kita masuk kereta (atau dalam sesetengah kes, sebelum kita beli kereta!) pun seluruh panca indera kita seharusnya sentiasa dalam keadaan siap siaga. 

 

 

RUJUKAN 

https://www.mekanika.com.my/titik-buta-di-lebuhraya-bahaya-yang-tersembunyi/ 

https://gempak.com/drebar/bagaimana-cara-mengurangkan-titik-buta-ketika-memandu-42063 

https://www.prihatinspanco.com.my/2021/11/28/4078/ 

https://www.kosmo.com.my/2021/11/14/elak-berada-di-titik-buta-kenderaan/ 

https://kakikereta.com/utama/ketahui-bahaya-titik-buta-di-lebuhraya-berbukit.html 

https://www.pressreader.com/malaysia/harian-metro/20201027/281492163814211 

https://www.carlist.my/news/titik-buta-boleh-membunuh-84878/84878/ 

https://bruscatolaw.com/blog/who-is-at-fault-in-a-blind-spot-accident/ 

 

Maklumat   terkini melalui email