Harm Awareness Association Malaysian Organisation of Vape Entity

KERETA VS BANJIR

Tragedi banjir yang melabuhkan tirai 2021 telah mengejutkan seluruh negara. Menurut mantan Pengarah Bahagian Kejuruteraan Automotif JPJ, Prof. Datuk Ir. Mohamad bin Dalib, dianggarkan lebih 50,000 buah kenderaan telah rosak akibat bencana alam tersebut, dengan purata kos membaikpulih dianggarkan mencecah sehingga RM30,000 setiap satu. Tambahan pula, memandu kereta yang pernah rosak akibat banjir bukan saja memerlukan perbelanjaan yang tinggi, malah juga bahaya kepada diri sendiri serta pengguna jalanraya yang lain.

Flood in Malaysia

Dilema ini boleh menghantui sesiapa sahaja, kerana fenomena alam ini sangat sukar diduga. Walau bagaimanapun, satu pengajaran besar yang boleh kita pelajari daripada tragedi ini adalah tentang pentingnya beringat sebelum terkena. Kesemua kerosakan dan kos yang terbit daripadanya boleh dielak, atau sekurang-kurangnya diminimumkan dengan hanya beberapa langkah pencegahan.

 

Sebelum banjir melanda kita dan kenderaan milik kita, antara langkah pencegahan yang boleh diambil terutama pada musim tengkujuh ini termasuklah

• Meletak kenderaan di tempat tinggi, dan mengelak kawasan rendah di mana air mudah bertakung

• Menutup atau menyumbat paip ekzos dengan paip, bola tenis atau apa saja, sebelum meninggalkan kenderaan

• Menanggalkan terminal bateri (atau juga cip berkomputer, bagi sesetengah kereta elektrik)

• Mengeluar dan mengelak daripada menyimpan dokumen atau barangan berharga di dalam kenderaan

 

Namun, jika kenderaan kita sudah terkena banjir, ini adalah langkah-langkah yang boleh dipraktikkan:

• Jangan cuba meredah banjir; keluar serta merta ke tempat selamat

• Jangan sesekali cuba menghidupkan enjin; ini adalah ‘pantang terbesar’ bagi kenderaan yang telah dimasuki air

• Hubungi pihak insurans dan buat laporan polis; jangan lupa serahkan dokumen lengkap 

• Hantarkan kenderaan hanya ke bengkel yang berdaftar sebagai panel insurans kita; gunakan trak penunda, jangan sesekali cuba pandu sendiri

 

Seterusnya, jika kenderaan anda berjaya dibawa ke bengkel, pastikan pihak bengkel membuang kesemua minyak yang ada sehingga habis. Ini kerana tangki minyak selalunya terletak di paras yang rendah, jadi kemungkinan untuk ia dimasuki air adalah sangat besar. Selain itu, pastikan segala komponen dan peralatan elektronik dicabut dan dikeringkan, serta masih berfungsi dengan baik sebelum dipasang semula. Cabut kusyen dan pastikan benar-benar bersih serta kering sebelum dipasang semula untuk mengelak kesan karat di kemudian hari. Cuci seluruh kereta untuk elak kesan air dan lumpur merosakkan badan dan komponen kereta jika dibiar melekat terlalu lama, terutama di bahagian yang tersembunyi.

bengkel kereta

Seringkali sebaik saja musim banjir tamat, kita akan dapat lihat banyak kenderaan terpakai yang dijual jauh lebih murah daripada sebelumnya. Periksa dengan betul-betul teliti, atau elakkan terus daripada membelinya, walaupun dijual di negeri-negeri yang tidak terkesan.

 

Mengikut sumber Berita Harian, jumlah pemandu Malaysia yang mendapatkan perlindungan bencana alam untuk kenderaan mereka masih di bawah 10%. Mencontohi apa yang terjadi, semua pemilik kenderaan wajar mendapatkan pakej insurans yang menawarkan perlindungan bencana alam mulai hari ini. Hanya dengan tambahan beberapa puluh atau ratus ringgit setahun, anda mungkin dapat mengelak kerugian berpuluh ribu ringgit di kemudian hari.

 

RUJUKAN

 

https://engear.tv/tips/keselamatan/2021/12/19/tips-selamatkan-kereta-sebelum-semasa-dan-selepas-banjir/479813/

https://www.hijabista.com.my/sebelum-isytihar-total-loss-lakukan-8-tip-ini-jika-kereta-ditenggelami-banjir/

https://www.mstar.com.my/xpose/i-suke/2021/12/20/jangan-panik-ini-perkara-yang-harus-dan-tak-patut-dilakukan-untuk-selamatkan-kereta-sangkut-dalam-banjir

https://mypt3.com/insuran-bencana-alam-banjir

https://www.mstar.com.my/xpose/i-suke/2021/01/13/ini-5-perkara-perlu-dilakukan-jika-kenderaan-sangkut-dalam-banjir-paling-penting-jangan-cuba-cuba-hidupkan-enjin-kereta

https://careta.my/article/cara-kesan-kenderaan-bekas-tenggelam-banjir-0

https://www.gohedgostan.com/2021/12/anggaran-kos-baiki-kereta-yang-di-landa-banjir/

https://www.careta.my/article/lebih-50000-kereta-tenggelam-banjir-dijangka-terus-tersadai 

https://www.bharian.com.my/bisnes/auto/2021/12/903042/banjir-pengeluar-kenderaan-tawar-diskaun-baik-pulih 

 

Maklumat   terkini melalui email